IPOH, 22 Feb – Mehmet Durakovic meninggalkan Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) yang dibimbingnya sejak 2017 selepas kontraknya tamat pada 19 Februari lalu.

Mehmet berkata keputusan pengundurannya itu dibuat atas alasan perlu menguruskan hal keluarganya di Australia.

Beliau mengakui ia adalah suatu keputusan berat yang diambil sepanjang empat tahun bersama Perak FC.

“Secara jujur pada saat wabak COVID-19 melanda negara tahun lalu, ia bukan sesuatu yang mudah bagi saya apabila tidak bersama keluarga. Begitu juga tahun ini.

“Selepas berbincang, saya mengambil keputusan untuk pulang bersama keluarga. Sudah tentu ia bukan keputusan yang mudah bagi saya.

“Saya akan merindui Perak FC. Namun keluarga harus diutamakan. Saya berharap saya telah melakukan yang terbaik untuk Perak selama empat tahun yang terindah,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Urusan Perak FC, di sini pada Isnin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengurus Pasukan Perak FC yang baru dilantik berkuatkuasa 10 Februari lalu, Rizal Naizali.

Baru-baru ini spekulasi pengendali The Bos Gaurus akan meninggalkan Perak bertiup kencang dalam kalangan peminat sukan bola sepak tempatan.

Selain itu terdapat juga dakwaan yang mengaitkan ia dengan isu tnggakan gaji sebulan setengah pemain dan pegawai pasukan.

Mengulas lanjut Mehmet menafikan ia selain mengulangi beliau mahu pulang ke Australia atas urusan keluarga.

“Ia tidak berkaitan dengan itu kelewatan bayaran sahaja. (Ditegaskan) Saya memang ada hal keluarga yang perlu diselesaikan. Keluarga ada segala-galannya bagi saya,” tegas beliau.

Untuk rekod, Mehmet, 56, membimbing Perak sejak 2017 dan berjaya menyumbangkan kejuaraan Piala Malaysia pada 2018.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC Khairul Shahril Mohamed berkata keputusan penamatan kontrak itu dibuat atas permintaan Mehmet sendiri dan rundingan telah berjalan lebih seminggu.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan keputusan itu akan memberi kesan terhadap skuad The Bos Gaurus menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac ini.

“Namun saya yakin akan semangat dan sikap professional pemain kita. Justeru kita mengambil pandangan Mehmet sendiri untuk mencari pengganti beliau,” jelasnya.

Justeru Khairul berkata Pengarah Teknikal Kuala Lumpur (KL) United FC, Chong Yee Fat menggantikan tempat Mehmet yang mana bekas pemain Perak sekitar tahun 1980an itu akan bersama-sama pada sesi latihan skuad The Bos Gaurus esok.

“Satu rundingan bersama KL United FC telah dibuat untuk membawa pulang Yee Fatt bagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Perak” katanya lagi.