IPOH, 20 APRIL – Seorang mekanik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak gadisnya yang ketika itu berusia 13 tahun, empat tahun lalu.

Hakim N Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Tertuduh berusia 40 tahun yang diperintah membela diri pada November 2019 lalu didakwa telah meraba kemaluan, meraba payudara dan menjilat kemaluan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun 4 bulan yang juga merupakan anak sulungnya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah tidak bernombor di Kampung Pulau Pisang Hilir, Jalan Malim Nawar dalam daerah Kampar pada Julai 2018.

Bapa kepada dua anak tersebut didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan Teeban Kummar. – Sinar Harian