KUALA LUMPUR, 30 NOV : Menara Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan.

Ini kerana katanya, pembangunan menara ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Jalan Petaling, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

“Mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

“Permohonan Geran Merdeka 118 ini telahpun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 di ibu negara pada Selasa.

Turut hadir adalah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Arifin Zakaria.

Pada masa sama ujar Ismail Sabri, pembinaan Merdeka 118 juga merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Merdeka 118 kini bersedia menjadi sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur dengan sejarah, rekreasi, sukan dan hiburan yang akan diaktifkan semula di ibu kota Malaysia.

“Saya teruja menantikan kesan positif serta nilai yang akan dibawa oleh mercu tanda baru ini kepada kawasan bersejarah Kuala Lumpur ini.

“Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara selain simbol sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu,” katanya. – AWANI