IPOH, 12 APRIL – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad merasmikan buku “Pengetua dan Kepengetuaan” yang dihasilkan Alumni Majlis Pengetua Semenanjung Malaysia (MPSM).

Pelancaran diadakan sempena majlis ramah mesra Menteri Besar dengan alumni berkenaan dan kepimpinan warga pendidik negeri Perak.

Pengerusi Alumni MPSM, Muhamad Razi Abdul Jabar berkata, buku itu menghimpunkan catatan kisah dan pengalaman yang dialami oleh bekas-bekas pengetua sekolah yang pernah berkhidmat di Perak.

Beliau berharap catatan perkisahan itu dapat menjadi dorongan kepada pemimpin-pemimpin sekolah sekarang untuk memimpin sekolah ke arah yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Saarani di dalam ucapannya berkata, beliau sangat teruja kerana dapat melancarkan buku tersebut.

“Pengalaman sangat penting sebab ia tidak ada jual di kedai dan tidak ada di dalam kuliah universiti,” ujarnya.

Menurutnya, berbeza dari guru-guru terdahulu, guru sekarang bernasib baik kerana banyak penerbitan yang boleh dijadikan bahan rujukan.