IPOH, 30 April – Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad disahkan negatif COVID-19 selepas menerima keputusan ujian saringan pengesanan virus tersebut hari ini.
 

Keputusan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta pada pukul 4. 30 petang Jumaat.
 

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, Saarani melakukan ujian saringan berkenaan pukul 2.30 petang semalam di Pusat Penilaian COVID-19, Arena Tenis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
 

Bagaimanapun, beliau akan terus menjalani kuarantin sehingga 3 Mei ini seperti dijadualkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).