KUALA LUMPUR: Seramai 30 anggota pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mengisytiharkan harta masing-masing walaupun tarikh akhir untuk berbuat demikian sudah dua kali dilanjutkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka sebahagian daripada 49 anggota pentadbiran kerajaan bergelar menteri dan timbalan menteri yang diwajibkan berbuat demikian, susulan arahan yang meliputi 123 ahli Parlimen mewakili semua parti gabungan PH.

Berdasarkan portal MyDeclaration yang boleh diakses umum mulai hari ini, 30 anggota pentadbiran yang gagal mengisytiharkan harta itu membabitkan 14 menteri, manakala selebihnya adalah timbalan menteri.

Barisan menteri meliputi Mohamad Sabu (Pertahanan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Hal Ehwal Ekonomi), Anthony Loke Siew Fook (Pengangkutan), Dr Maszlee Malik (Pelajaran), Datuk Seri Rina Harun (Pembangunan Luar Bandar), M Kulasegaran (Tenaga Manusia), Datuk Salahuddin Ayub (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kesihatan), Datuk Saifuddin Abdullah (Luar Negeri), Khalid Abdul Samad (Wilayah), Yeo Bee Yin (Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim, dan Alam Sekitar), Darell Leiking (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Redzuan Yusoff (Pembangunan Usahawan) dan Baru Bian (Kerja Raya).

Untuk timbalan menteri pula, enam sahaja yang disenarai selesai mengisytiharkan harta. Mereka ialah Mohamed Hanipa Maidin (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Amiruddin Hamzah (Kewangan), Dr Lee Boon Chye (Kesihatan), Steven Sim (Belia dan Sukan), Ong Kian Ming (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Hannah Yeoh (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Selain 30 anggota pentadbiran kerajaan itu, portal MyDeclaration memaparkan 47 lagi ahli Parlimen mewakili PH gagal menyempurnakan pengisytiharan harta.

SPRM sebelum ini menunda dua kali pelancaran portal memaparkan aset diisytihar anggota pentadbiran kerajaan dan ahli parlimen PH yang boleh diakses umum itu, dengan tarikh akhir untuk berbuat demikian semalam (31 Oktober).

Melalui data MyDeclaration, Guan Eng merekodkan pendapatan RM86,464.92 iaitu tertinggi dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan, mengatasi Mahathir dan Wan Azizah yang masing-masing mengisytiharkan pendapatan RM75,861.57 dan RM59,048.33.

Berdasarkan pemerhatian, portal terbabit hanya memaparkan jumlah pendapatan, namun tiada rekod senarai atau pecahan aset serta harta lain yang difahamkan berpunca daripada masalah teknikal.

Kerajaan PH sebelum ini mewajibkan menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen mewakili setiap parti dalam pakatan berkenaan, mengisytihar dan memperincikan harta masing-masing untuk membolehkan ia disiarkan melalui portal MyDeclaration – berita harian