TAPAH, 17 Mei – Tiga pekerja cedera apabila mesin boiler sebuah kilang memproses batu kapur di Batu 3, Temoh, dekat sini, terbakar hari ini.

Dua daripada mereka yang berumur 41 dan 44 tahun cedera ringan manakala seorang lagi yang berumur 30 tahun melecur di bahagian muka.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.56 pagi.

“Setibanya jentera dan anggota di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan mesin boiler yang musnah 40 peratus dan telah menyebabkan letupan.

“Hasil daripada letupan itu, mengakibatkan penutup boiler terbuka dan mencederakan tiga orang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu lagi, kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang tersebut, sebelum ketibaan pihak bomba.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba melakukan pemantauan di keseluruhan kawasan bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya.

Mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahman Ibrahim tamat pada 11.50 pagi.