KUALA LUMPUR, 26 JULAI : Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui, kerajaan sedia ada bukanlah kerajaan yang sempurna.

Namun kata Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

Apa yang penting, tegas Muhyiddin, semua pihak mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

“Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari. Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menerangkan tentang Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas yang bermula hari ini.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan faham rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.

Tambahnya lagi, kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut tersebut mempercepatkan program vaksinasi, sehingga menjadikan Malaysia hari ini antara negara yang terpantas dalam proses pemberian vaksin.

Dalam pada itu Muhyiddin turut menyeru rakyat untuk terus mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka di luar rumah, membawa cecair sanitasi serta melakukan penjagaan kendiri.

“Selain itu, saya menyeru seluruh rakyat untuk mendapatkan vaksin dengan segera. Tidak kiralah apa jenamanya, ia masih vaksin yang berkesan untuk mencegah wabak yang berbahaya.

“Seganas mana pun wabak ini menakutkan manusia, Insya-Allah vaksinasi adalah cara terbaik untuk melindungi nyawa,” kata Perdana Menteri lagi. – AWANI