IPOH, 15 Mei – MIC Perak mahu Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Timbalannya, Datuk M Saravanan kekal dalam jawatan masing-masing parti tersebut.

Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango berkata kesemua 24 bahagian dan 791 cawangan MIC Negeri sebulat suara menyokong usul dua pemimpin itu menang tanpa bertanding pada pemilihan parti yang dijangka akan berlangsung pada bulan hadapan.

Katanya usul itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Badan Perhubungan MIC Perak yang berlangsung di sini semalam.

“Pada pemilihan presiden parti pada tahun ini MIC Perak telah mengambil keputusan untuk menyokong sebulan suara, memberi sokongan kepada Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri SA Vigneswaran dipilih tanpa bertanding sebagai presiden MIC.

“Begitu juga dengan Timbalan Presiden. MIC negeri Perak, mengambil keputusan untuk memberi sokongan sebulat suara kepada Yang Berhormat datuk seri M Saravanan supaya dipilih tanpa bertanding sebagai timbalan presiden MIC,” katanya di sini pada Jumaat

Tambah Elango, keputusan itu dibuat bersandarkan kepada kepimpinan mereka yang disifatkan sebagai dinamik dan proaktif dalam menerajui parti sejak 2018.

MIC akan mengadakan pemilihan parti di mana proses penamaan calon dijangka berakhir pada 26 Mei yang mana ia membabitkan jawatan presiden dan jawatan penting yang lain.

Pemilihan parti dijangka berlangsung pada Jun.