PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat sembilan pegawai kanannya berkuat kuasa 21 Disember ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Datin Seri Asmawati Ahmad berkata, Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilantik sebagai Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

Katanya, Ketua Cawangan Khas Perak, Datuk Mazlan Santarai pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

“Selain mereka, Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Mustafa Khan Abdul Samat akan menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

“Turut terlibat dalam pertukaran ini, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat dan Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk S. Sasikala Devi. Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan), JSJK Bukit Aman yang akan memangku pangkat DCP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Perak.

“SAC R. Munusamy dilantik sebagai SAC Bahagian Pentadbiran Maktab PDRM, Kuala Lumpur manakala Asisten Komsioner (ACP) Mohamad Mashdik Yahya dinaikkan pangkat SAC dan menyandang jawatan Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman.

“ACP Mohamad Abd. Hamid dilantik sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan, Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat SAC,” ujarnya.

Tambah Asmawati, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, ACP Mohd. Zaki Ashar dilantik sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon I, JSJN Bukit Aman. – K! ONLINE