TAPAH, 26 Mac: Seorang penyelia kilang kicap maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 81, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, berhampiran Taman Bakti, Sungkai, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, M. Satthiyah, 20, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari Sungkai ke Bidor, melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang membawa muatan barangan plastik.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemandu lori yang berumur 51 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk urusan bedah siasat yang dijadualkan petang ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.