LENGGONG, 13 MAC : Seorang penghantar surat maut selepas motosikalnya terlanggar seekor kera di Kilometer 37.2 Jalan Kuala Kangsar – Gerik – Pengkalan Hulu, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, mangsa, Ahmad Dzulkifli, 34, yang beralamat di Kampung Bukit Sapi, di sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lenggong.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 5.20 petang
mengenai satu kejadian kemalangan jalanraya di jalan besar Banggol Belimbing melibatkan sebuah motosikal.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlanggar seekor kera yang keluar melintas jalan dengan tiba-tiba dari arah kanan ke kiri.

“Mangsa dipercayai telah tercampak di atas jalan tar dan dihantar ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk rawatan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Zulkifli , mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.55 petang hari yang sama.