IPOH, 30 Mei – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya, Ipoh.

Sebelum ini Harussani dan isteri Puan Sri Ainon Abdul Ghani disahkan dijangkiti COVID-19 sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Pada 24 Mei, Puan Seri Ainon dilaporkan semakin pulih dan berehat di rumah sementara Tan Sri Harussani masih menjalani rawatan.

Allahyarham Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

Selain itu antara anugerah yang pernah diterimanya adalah Panglima Setia Mahkota yang membawa kepada gelaran Tan Sri, Sempena Hari Keputeraan Yang DiPertuan Agong pada 2009; Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam bersempena Istiadat Konvokesyen Ke-12 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Tokoh Ar-Ridzuan sempena sambutan Maal Hijrah 1439/2017 peringkat negeri.