PUTRAJAYA – Selepas 20 tahun diperkenalkan, MyKad bakal dinaik taraf dengan teknologi digital terkini lebih canggih sekali gus tidak mudah dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, proses pendigitalan MyKad itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti secara terus kesahihan kad berkenaan dengan lebih mudah dan pantas.

“Insya-Allah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memang sudah ada perancangan untuk beralih kepada penggunaan program pendigitalan ID (dokumen diri) yang lebih canggih.

“Lepas ini, jika individu itu pergi ke bank untuk urusan tertentu, dia letak tangan di pengimbas dengan MyKad, pegawai di situ boleh tahu ia kad palsu kerana tiada rekod diri,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan tiga bas ‘mobile’ JPN generasi baharu di sini semalam.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya menjangka pelaksanaan MyKad versi baharu itu akan diumum pada tahun ini juga dan memberi amaran keras kepada pemilik kad palsu supaya berwaspada sebelum ditangkap.

Dalam pada itu, jelasnya, Kementerian Dalam Negeri juga akan mengatur perbincangan dengan ulama Islam dan agamawan Kristian dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut isu kalimah Allah.

“Pertemuan tersebut diharap akan dapat dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi untuk sesi perbincangan secara harmoni.

“Saya bersetuju untuk memanggil semua ulama Islam dan agamawan Kristian tempatan daripada semua mazhab agar kita selesai isu panas ini melalui pihak kementerian,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan ‘kartel’ bagi menjatuhkan dirinya, ujarnya, pihak tidak tahu menahu.

“Saya sebagai Pengerusi SPP (Suruhanjaya Pasukan Polis) baru pertama kali dengar ada kartel dalam perkhidmatan polis. Saya akan lihat semula jika betul ia ada wujud,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta Abdul Hamid agar tampil membawa isu berkenaan dalam mesyuarat SPP untuk tindakan susulan terhadap mana-mana pegawai dan anggota terlibat.

Katanya, ini kerana sebarang isu berkaitan perlucutan, hukuman atau penggantungan tugas penjawat polis perlu melalui SPP yang kelazimannya bermesyuarat sekali dalam sebulan. -K!ONLINE