IPOH: Kerja-kerja menaiktaraf kelubung Jambatan Sungai Kledang di Jalan Kampung Kuala Pari Hilir yang mengalami kerosakan serius telah bermula 16 November lalu dan dijangka mengambil masa 26 minggu untuk disiapkan.

Menerusi kenyataan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Khamis, pihak Konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB) telah diamanahkan untuk merekabentuk semula kelubung kepada jambatan yang baru serta menjalankan kerja-kerja menaiktaraf.

“Hasil daripada pemantauan MBI berdasarkan aduan daripada penduduk setempat dan Penghulu Mukim Hulu Kinta (Lahat) pada 25 Ogos lalu mendapati kelubung sedia ada telah mengalami kerosakan kecil.

“Sehubungan itu, pihak MBI telah mengarahkan pihak PEISB untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan pada 27 Ogos.

“Namun begitu akibat kekerapan hujan pada awal September lalu didapati kerosakan tersebut telah menjadi semakin serius,”katanya.

Justeru itu, satu lawatan diadakan pada 25 September bersama-sama agensi terbabit termasuk Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Penghulu Mukin Hulu Kinta, PEISB dan wakil penduduk.

Katanya lagi, Jabatan Kejuruteraan MBI telah menjalankan kerja-kerja penutupan laluan berkenaan pada 26 September.

“Pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf tersebut akan menyebabkan gangguan lalulintas di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu MBI memohon kerjasama penduduk setempat dan pengguna laluan tersebut agar mematuhi arahan lalulintas semasa kerja-kerja menaiktaraf dijalankan bagi memberi kemudahan dan keselesaan pada masa akan datang.