Kuala Lumpur, 24 Sept : Mahu melahirkan lebih ramai lagi ‘Usain Bolt’ Malaysia menyebabkan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mengambil keputusan berhijrah dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dalam waktu terdekat ini.

Walaupun keputusan berkenaan boleh dikatakan agak mengejutkan, perpindahan lokasi itu dilakukan demi kebaikan semua pihak terutama kepada atlet untuk mencari ‘angin baharu’ dalam memantapkan lagi larian masing-masing.

Malah, penghijrahan itu turut dikaitkan kemungkinan beliau akan melatih pelari muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang bersekolah di situ.

Beliau yang juga seorang guru berkata, juara 100 meter Sukan Sea, Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Haiqal Hanafi akan mengikutnya ke SMK Gunung Rapat untuk meneruskan latihan seperti biasa.

“Saya rasa sudah tiba masanya berhijrah kerana percaya dengan konsep yang dibawa oleh Rasulullah dari Makkah ke Madinah.

“Insya-Allah akan membawa lebih kebaikan dan kejayaan untuk atlet dan jurulatih pada masa akan datang.

“Sebelum ini ketika saya berhijrah kali pertama dari Melaka ke SSTMI, Alhamdulillah berjaya lahirkan Khairul Hafiz dan Haiqal untuk menang dalam Sukan Sea,” katanya.

Kredibiliti Poad selaku jurulatih sememangnya sudah terbukti apabila dia menjadi watak penting terhadap kejayaan Khairul Hafiz dan Muhamad Haiqal.

Kedua-dua pelari itu memenangi pingat emas acara 100 meter Sukan Sea pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Filipina.

Malah, dia berjaya membentuk seorang lagi pelari pecut yang boleh dianggap sebagai bintang dalam pembikinan iaitu Muhammad Arsyad Md Saat yang menjuarai acara 100m pada saingan Grand Prix (GP) Malaysia.

Poad kini berdepan tugas berat untuk memastikan kontinjen negara dapat mengekalkan pingat emas acara riben biru itu buat kali ketiga berturut-turut apabila bertanding di Sukan Sea Vietnam awal tahun depan. – Harian Metro