PETALING JAYA, 25 OKT : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, segala pandangan, nasihat serta buah fikiran dizahirkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah banyak membantu dan menjadi pedoman serta ingatan kepada beliau bersama rakan Jemaah Menteri dalam memastikan pentadbiran negara sentiasa berada di landasan tepat.

Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri kemudian menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

“Sememangnya inilah azam kerajaan baharu bawah pimpinan patik pada hari tatkala mengangkat sumpah memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan warkah menjunjung kasih pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Bendahara, Istana Negara, hari ini.

Sultan Nazrin menamatkan tugas menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ke United Kingdom (UK).

Baginda yang melaksanakan tugas itu sejak 18 September lalu akan menamatkan tugas berkenaan pada pukul 12 tengah malam nanti.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau juga akan terus berusaha memulihkan permasalahan rakyat dan memantapkan ekonomi negara terutama berhubung hala tuju negara dalam era pandemik Covid-19.

Perdana Menteri turut mendoakan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dikurniakan taufik dan hidayah serta dilanjutkan usia untuk terus bersemayam atas takhta pemerintahan Perak dengan segala kemuliaan dan kedaulatannya. – UTUSAN