TAIPING, 2 Mac – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengambil inisiatif dengan mendaftarkan dan menemu ramah pekerja Silverstone Bhd yang akan diberhentikan hujung Jun depan.

Menurut kenyataan NCIA, program di bawah modal insan adalah untuk membantu pekerja berkenaan mendapat peluang pekerjaan dan nafas baharu dalam kehidupan mereka.

Katanya, pihaknya telah mengambil bahagian dalam pameran pekerjaan anjuran bersama dengan Silverstone, kerajaan negeri Perak dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di premis kilang itu di Kamunting pada Ahad, bagi membantu lebih 700 pekerja yang bakal hilang pekerjaan.

“Mereka akan dipadankan dengan 20,000 pekerjaan yang akan dihasilkan dari pelbagai program modal insan bersepadu NCIA seperti JomKerja@NCER, JomNiaga@NCER dan NCER Talent Enhancement Programme (NTEP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud di dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan statistik peningkatan kehilangan pekerja di negeri ini.

“Program modal insan seperti yang dianjurkan oleh NCER dapat membantu mengurangkan kesannya.

“Saya harap program-program ini akan terus memberi sinar baru kepada mereka yang terjejas sehingga keadaan bertambah baik,” ujarnya.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John pula berkata,
program modal insan bersepadu NCIA mencerminkan pendekatan holistik dalam menangani masalah pengangguran dan membantu mereka yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini.

“Program-program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA),” katanya.

Pengurus Besar, Sumber Manusia Silverstone Bhd, Encik Gordon Jude Seneviratne pula berkata, pihaknya menghargai usaha bersama yang diberikan oleh kerajaan negeri, PASAK dan NCIA untuk membantu kakitangan kami mendapatkan peluang pekerjaan baru.

“Wabak ini telah memberi impak yang besar terhadap perniagaan kami,” ujarnya.

JomKerja@NCER digerakkan segera bagi mendorong syarikat untuk meneruskan proses pengambilan pekerja yang terkesan berikutan wabak COVID-19.

Mereka yang mendaftar di bawah JomKerja@NCER akan diberi peluang pekerjaan dan latihan di tempat kerja dengan fokus program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau ‘reskilling and upskilling’, diikuti dengan latihan kemahiran insaniah untuk meningkatkan daya saing peserta di pasaran pekerjaan.

Syarikat yang mengambil bahagian juga akan diberi insentif upah sehingga maksimum RM1,000 bagi setiap pekerja sehingga tempoh enam bulan.

Program JomNiaga@NCER memfokuskan pada pengambilan pekerja dan peningkatan kemahiran belia, wanita, peniaga kecil, dan pekerja yang diberhentikan dalam kategori B40 untuk memperoleh pendapatan melalui penempatan pekerjaan di PKS atau perusahaan mikro yang mengambil bahagian, atau melalui usaha keusahawanan.

Di bawah program ini, para peserta akan menjalani kursus latihan teknikal dan separa teknikal modular dengan latihan keusahawanan e-dagang sehingga tiga (3) bulan untuk membolehkan para peserta menjana pendapatan segera dalam jangka masa yang singkat.

Sementara itu, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) meningkatkan kebolehpasaran dan menyediakan peluang pekerjaan untuk graduan yang menganggur, pekerja kontrak dan pelatih pengurusan (management trainees) melalui penempatan di syarikat yang mengambil bahagian, dan pada masa yang sama diberikan latihan di tempat kerja secara yang tersusun.

NCIA juga akan memberi insentif kepada Toyo Tires Malaysia Sdn Bhd (TTM) di bawah program JomKerja@NCER untuk mengekalkan dan menyerap sejumlah kakitangan Silverstone Bhd yang layak selain seramai 200 pekerja yang telah diserap untuk bekerja di kilang pembuatan tayar mereka.

Selain TTM, NCIA juga akan menyediakan fasilitasi strategik untuk syarikat lain yang dalam proses memberhentikan pekerja di wilayah utara.

Graduan yang masih menganggur dan pekerja yang telah diberhentikan kerja disaran untuk mendaftar dengan program JomKerja@NCER, JomNiaga@NCER dan NTEP.

NCIA juga turut membantu syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di wilayah ini atau ingin mengambil ataupun mengekalkan (retain) pekerja tempatan.

Justeru itu, NCIA akan terus melaksanakan kesemua program modal insannya pada tahun 2021 dan menggandakan usaha untuk memastikan lebih banyak peserta dan perniagaan di rantau ini dapat lebih manfaat daripada insentif yang diberikan.

Untuk meneroka peluang pekerjaan bagi individu yang sedang mencari pekerjaan atau perniagaan yang ingin meneruskan proses pengambilan pekerja atau mengekalkan pekerja, sila daftar JomKerja@NCER, JomNiaga@ NCER, NTEP dan Program Modal Insan NCER yang lain dengan menghubungi Sekretariat NCER di talian 04-503 0198 / 04- 503 0199 atau emel kepada eapplicationcontactcentre@ncer.com.my.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web www.ncer.com.my/jomkerja_jomniaga atau ikuti NCER di platform media sosial Twitter, Instagram, Facebook dan LinkedIn.