PETALING JAYA, 26 JULAI : Kerajaan memutuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa negeri yang sudah berada di fasa kedua tidak akan kembali ke fasa pertama.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua dan ini kerana pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menekankan iaitu ‘exit strategy and no turning back’.

“Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya.

“Saya ingin memaklumkan, sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri tersebut, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini,” katanya ketika penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen hari ini. – UTUSAN