PARIT BUNTAR, 9 Mac – Seorang nelayan yang terjatuh dari bot ketika sedang menangkap ikan di kawasan perairan Kuala Kurau di sini ditemukan lemas pada Isnin.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, mayat Ng Choon Lee, 62, ditemui terapung oleh nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Sabtu lalu.

“Mangsa yang berasal dari Bagan Tiang, Tanjung Piandang telah jatuh semasa menangkap ikan di laut menggunakan vesel penangkapan ikan tempatan kira-kira 11.8 batu nautika barat daya Kuala Kurau.

“Operasi SAR yang disertai agensi dari Polis Marin, Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan dilaksanakan selama tiga hari di kawasan seluas 128 batu nautika persegi,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk pengecaman oleh ahli keluarga.

“Komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa menggunakan jaket keselamatan ketika di laut,” katanya. – Sinar Harian