LUMUT, 1 Ogos – Seorang warga asing kru bot nelayan tempatan disyaki hilang di kedudukan lebih kurang 24.4 batu nautika barat daya Pulau Buloh pada Jumaat.
 

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, mangsa dipercayai warga Thailand telah keluar ke laut pada Khamis membawa sebuah bot peranti.

Bagaimanapun, katanya, mangsa dikatakan telah terputus hubungan dengan bot induk serta tidak dapat dikesan sejak kelmarin.
 

“Maklumat kejadian ini diterima daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) dan KM Gagah yang sedang melaksanakan rondaan rutin diatur gerak ke lokasi kejadian yang dilaporkan, namun tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sharizan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga telah diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi sejurus aduan diterima pada jam 6.40 petang semalam.

 
Menurutnya, Maritim Malaysia akan menyalurkan maklumat dari masa ke semasa di dalam usaha SAR itu di samping penglibatan aset-aset pasukan sahabat yang lain.
 

Beliau meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.