IPOH, 20 Sept – Pujukan tanpa henti daripada anak dan cucu akhirnya membuka hati seorang warga emas berusia 101 tahun untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini pada Isnin.

Choong Yat Han dari Buntong hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Meru Valley Resort dengan berkerusi roda ditemani anak lelakinya untuk menerima suntikan vaksin jenis Sinovac dalam keadaan dipantau rapi petugas kesihatan.

kepada 30 cucu itu mengakui tidak mahu menerima suntikan kerana menganggap usianya yang sudah lanjut dan tidak lagi memerlukan sebarang rawatan.

Bagaimanapun katanya, anak dan cucunya tidak mengalah dan terus memujuknya untuk mengambil suntikan imunisasi berkenaan demi keselamatan semua ahli keluarga.

“Ambil vaksin sebab takut penyakit (Covid-19). Anak kata kalau tak ambil vaksin nanti dapat sakit, semua orang dalam rumah pun boleh dapat penyakit.

“Lagi (jika tidak vaksin) tak boleh keluar jalan, makan di restoran pun tak boleh. 

Sekarang sudah cucuk, hati pun sudah rasa senang, malah cucuk tadi pun tak sakit, sikit-sikit sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Anak lelakinya, Chan Ho Han, 72 berkata, sejak April lalu mereka sekeluarga memujuk dan meyakinkan warga emas itu memandangkan ibunya berkeras enggan divaksin.

“Mula-mula memang dia tak nak, tetapi lama-lama dia bersetuju lepas saya cakap penyakit sekarang sudah makin teruk dan hanya orang yang sudah divaksin boleh keluar rumah dan makan di restoran.

“Apabila dia setuju divaksin, saya terus buat pendaftaran di MySejahtera dan tak sampai beberapa hari dia (ibu) sudah dipanggil untuk janji temu hari ini (Isnin),” katanya.

Menurutnya, meskipun ibunya sudah berusia lebih satu abad, namun keadaannya masih sihat tanpa sebarang penyakit serius, malah penglihatan, pendengaran dan ingatannya juga masih baik.

“Mak sangat menjaga pemakanan, paling penting setiap hari mesti makan nasi, mungkin sebab itu dia masih sihat sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Meru Valley Resort, Datuk Lim Si Boon berkata, PPV yang beroperasi sejak awal Ogos itu telah berjaya memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada hampir 10,000 orang.

Katanya, pembukaan pusat vaksinasi dengan kerjasama Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) itu mampu menerima jumlah kehadiran 600 orang sehari dengan bantuan empat penyuntik vaksin dan 25 petugas termasuk sukarelawan.

“Kita berbangga dapat bersama-sama membantu kerajaan dalam mencapai matlamat kelompok imuniti terhadap Covid-19.

“Dengan kemudahan yang ada ini, kita yakin mampu meneruskan pemberian vaksin terutama kepada golongan remaja bawah 18 tahun pula yang ketika ini menjadi fokus kerajaan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya. -Sinar