IPOH, 22 April – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menuntut agar isu peniaga yang tidak berlesen dan lambakan warga asing yang digajikan sebagai pekerja di Pasar Borong Ipoh diselesaikan segera.

NGO tersebut terdiri daripada Pertubuhan Keramat Malaysia dan Pribumi Perkasa Negara serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Wakilnya, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar mendakwa keberadaan peniaga tidak berlesen jelas menimbulkan kegusaran terhadap peniaga tempatan selain mendakwa perkara itu menjejaskan peniaga lain.

Difahamkan ia membabitkan isu perniagaan bekalan ais untuk penyimpanan bahan mentah seperti ikan segar dan ayam.

“Kami tidak mempertikaikan peniaga lain tetapi adalah tidak adil membenarkan peniaga yang tidak berlesen menjalankan perniagaan di pasar ini.

“Sekiranya perkara ini berterusan, peniaga tempatan khususnya dalam kalangan orang Melayu tidak akan mendapat peluang perniagaan di Pasar Borong Ipoh,” katanya di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut meminta agar pihak berkuasa tempatan dapat melakukan pemeriksaan secara berterusan di Pasar Borong Ipoh bagi memastikan ianya bebas daripada isu pekerja asing dan peniaga tidak mempunyai lesen.

Katanya lagi pihaknya menerima aduan berhubung hal tersebut daripada seorang individu yang tidak didedahkan identitinya pada dua hari lalu.

“Berhubung isu pekerja asing di sini kami meminta agar adanya pemantauan yang lebih kerap daripada pihak berkuasa. Pastikan mereka ini mempunyai permit untuk bekerja,” katanya yang juga Setiausaha PUTRA Perak.

Susulan itu mereka telah menghantar satu memorandum berhubung hal tersebut, hari ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang diwakili Pengarah Kanan Pentadbiran dan Operasi Musa Dun.

Baru-baru ini tular video di media sosial apabila seorang lelaki telah datang ke Pasar Borong Ipoh untuk berbincang dengan wakil peniaga tidak berlesen.

Namun, dalam video berdurasi 6.20 minit menunjukkan peniaga tersebut tidak memberikan kerjasama berhubung jalan penyelesaian dalam isu tersebut.

Dalam video sama, dia meminta Datuk Bandar Ipoh dan pihak berkuasa memandang serius isu tersebut yang didakwa menindas peniaga ais berlesen yang sudah tujuh tahun menjalankan perniagaan di situ.