KUALA LUMPUR: Nikon (Malaysia) Sdn Bhd akan menghentikan operasinya pada 1 Januari 2021 dengan hari terakhir beroperasi adalah 31 Disember 2020.

Syarikat itu dalam makluman di laman Facebook berkata, dalam tempoh peralihan berkenaan, ia akan beroperasi seperti biasa.

“Kami berharap anda memahami peralihan ini dan jika mahu berhubung dengan kami sepanjang tempoh ini, anda boleh melakukannya saluran sosial rasmi syarikat.

“Kami bersyukur di atas sokongan serta kesetiaan tidak berbelah bagi anda selama beberapa tahun ini, dan menjadi satu kebanggaan untuk memberikan perkhidmatan dalam bidang pengimejan dan industri metrologi di Malaysia,” katanya.

Bermula 1 Januari 2021, Futuromic Photo AV Sdn Bhd akan menjadi pengedar sah yang dilantik menjalankan perniagaan pengimejan Nikon merangkumi pemasaran, jualan dan perkhidmatan aktiviti selepas jualan produknya di negara ini.

QES (Asia Pacific) Sdn Bhd pula akan terus menjadi pengedar sah perniagaan industri metrologi.