KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata tindakan itu diambil kerana akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 3 Ogos lepas.

“Berdasarkan keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata akan meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 walaupun tidak lagi menjadi menteri.

“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan,” katanya lagi.

Pada masa sama Noraini turut berterima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian itu yang membantu beliau melaksanakan tugas.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang kepada beliau berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan. -Awani