Oleh: Aida Aziz

PASTI ramai dalam kalangan pembaca yang ada kisah atau nostalgia tersendiri apabila bercerita tentang aiskrim Malaysia, sekurang-kurangnya ada yang teringat kembali kenangan di bangku sekolah menikmati aiskrim itu setelah tamat sesi persekolahan.

Suatu ketika dahulu aiskrim Malaysia menjadi kegemaran Pelajar-pelajar menghilangkan dahaga semasa pulang dari sekolah, lebih tepat lagi sewaktu matahari tengah rembang, terpancar betul-betul di atas kepala.

Tambahan pula pada waktu itu ramai penjaja yang menjual aiskrim Malaysia di luar pagar sekolah dengan harga yang amat berpatutan, iaitu 50 sen sebatang.

Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun lamanya, kini aiskrim Malaysia masih digemari. Namun sebagaimana berubahnya masa, ia juga turut berevolusi dengan pelbagai sentuhan dan variasi perisa baharu yang kena dengan selera ramai.

Kualiti Penting, Fikir Kuantiti Kemudian

Baru-baru ini, Suara Perak berpeluang menemubual seorang anak muda dari Kamunting, Taiping yang menjadikan perniagaan aiskrim Malaysia sebagai sumber pendapatan samping an yang lumayan hasilnya.

Solihatun Shahidah Othman, 22, berkata, dia mempelajari resipi dan cara pembuatan aiskrim tersebut daripada kakaknya yang pernah mengikuti kelas khas membuat aiskrim.

Solihatun atau lebih mesra disapa sebagai Soli berkata, ramai yang boleh menghasilkan sendiri aiskrim Malaysia di rumah, tetapi jika tidak kena dengan gayanya hasilnya menjadi keras kematu!

“Kakak dan saya amat mementingkan kualiti bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan aiskrim ini, kami hanya membuatnya apabila ada tempahan.

“Ini kerana kami tidak mahu menjual aiskrim yang sudah lama kepada pelanggan; kami perlu menjaga kualiti rasa aiskrim ini,” katanya. 

Menurut Soli, dia selalu berpegang kepada kata-kata kakaknya iaitu apabila menjual barang atau makanan yang bermutu, insya-Allah pelanggan akan berulang kali membuat tempahan, oleh itu, tiada istilah rugi jika menggunakan bahan yang agak mahal harganya. 

“Pada mulanya saya membuat aiskrim ini untuk dimakan sendiri tetapi lama-kelamaan, timbul idea untuk menjual secara online, dengan tertumpu kepada media sosial seperti Facebook dan Instagram,” katanya.

Soli yang merupakan penuntut Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjejaskan, situasi pembelajaran secara online susulan COVID-19 membuatkan dia cenderung melakukan eksperimen tentang perisa baharu aiskrim.

Dia yang baru sahaja menamatkan latihan industri di Zoo Taiping turut menjadikan perniagaan secara online sebagai satu pengalaman dan persediaan untuk meluaskan cabang perniagaannya, sesuai dengan kursus yang dipelajarinya di universiti.

Jenis-Jenis Aiskrim Malaysia 

Setakat ini, menurut Soli, dia dan kakaknya telah menghasilkan hampir 30 jenis perisa aiskrim Malaysia dan setiap satunya mempunyai rasa yang unik, selain gabungan perisa yang pelbagai dalam satu plastik aiskrim.

Katanya lagi, ada banyak perbezaan di antara aiskrim Malaysia tradisional dengan versi sekarang, jika dahulu ia hanya menggunakan campuran air berperisa standard seperti milo, sirap atau asam masin.

Tetapi dengan pembaharuan dan penambahbaikan, aiskrim tersebut dimasak dengan adunan bahan dan sukatan tertentu yang menjadikannya gebu dan lembut dalam setiap gigitan.

“Selepas bancuhan masak, ia dibiarkan sejuk sekurang-kurangnya empat hingga lima jam. Kemudian ia dimasukkan ke dalam peti ais dan dibungkus dalam plastik.

“Antara perisa aiskrim Malaysia yang kami jual ialah Solero, Vanilla Chocolate Hazelnut, Bluemint Oreo, Durian, Mcflurry Nestum Oreo, Milky Blueberry, Milky Coconut Cendol, Milky Chocolate, Apple Asam Boi dan Chocolate Peanut Butter.

” Pelanggan boleh membuat permintaan khusus jika mahu tambahan perisa atau kurang manis, bergantung kepada selera masing-masing. Aiskrim ini dijual RM1 sebatang, dan jika ia dibuat dengan bahan yang agak mahal, saiznya akan kami kurangkan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat menempah aiskrim untuk majlis-majlis tertentu, bolehlah singgah di laman Instagram @solilatasty. Anda tidak akan menyesal kerana rasa aiskrim buatkan anak muda ini dijamin tidak mengecewakan.