Oleh: Aida Aziz

BAS pernah menjadi antara pengangkutan awam utama dan penting kepada orang ramai dalam menjalankan urusan harian suatu ketika dahulu.

Hakikatnya, apabila bercakap tentang perkara ini, ramai di kalangan kita mempunyai kenangan tersendiri khususnya di stesen bas yang menjadi tumpuan untuk berhimpun.

Tetapi itu dulu, sebelum suasana berubah seiring dengan peredaran zaman yang mana kini kebanyakan daripada kita memiliki kenderaan sendiri bagi memudahkan pergerakan khususnya dengan keluarga ramai.

Perkembangan perkhidmatan bas di Perak

Menurut Perak Government Gazatte 1893, bas daripada kereta kuda mula diperkenalkan di Kinta oleh orang Jepun.

Perkhidmatan bas di Perak bermula seiring dengan pembinaan jalan raya di negeri ini sekitar tahun 1880-an.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, peningkatan penduduk dan pengangkutan mendorong kepada keperluan perkhidmatan tersebut.

“Perkhidmatan bas ini adalah antara Ipoh dan Batu Gajah. Bas ‘Pony’ itu ditarik oleh dua ekor kuda. Kebiasaannya pemandu kepada bas kereta kuda dan kereta lembu ini terdiri daripada orang Tamil dan Punjabi serta Pathan. 

“Pada tahun 1910, perkhidmatan bas menggunakan kenderaan bermotor yang pertama mula diperkenalkan di Ipoh oleh Yeop Abdul Rani Idris. Ia beroperasi dari persimpangan Hugh Low Street (Jalan Sultan Iskandar) dan Laxmana Road (Jalan Laxmana) ke Gopeng. 

“Namun perkhidmatan bas ini hanya mampu bertahan selama dua tahun sehingga tahun 1912,” katanya.

Ujar Hisham lagi, stesen bas Medan Kidd dibina pada tahun 1938 dan dinamakan sempena nama Pengerusi Kinta District Board, Mejar S.M. Kidd.

Katanya stesen ini awalnya terdiri daripada struktur kayu dan digantikan dengan bangunan batu pada tahun 1960-an.

“Kegemilangan stesen bas utama Perak ini mulai pudar apabila dalam tahun 2004 Terminal Bas Express Medan Kidd ditutup dan dipindahkan ke Terminal Bas Amanjaya di Meru Raya. 

“Selain itu, terdapat satu lagi perhentian bas di  Ipoh pada suatu ketika dahulu iaitu Stesen Bas Jalan Tanjung Rambutan di Jalan Yang Kalsom hari ini,” jelasnya.

Setelah itu, katanya, pelbagai syarikat mulai muncul pada tahun 1960-an hingga 1980-an.

Antaranya termasuk Ipoh Omnibus, Kinta Omnibus, General Omnibus, Reliance Omnibus, Red & Yellow Omnibus di Taiping, Blue Omnibus dan Perak Roadways. 

“Hari ini kebanyakan syarikat perkhidmatan bas tersebut tidak lagi wujud. Sebahagiannya digabungkan membentuk Combined Bus Services (gabungan General Omnibus, Kinta Omnibus dan Ipoh Omnibus) pada tahun 2006,” katanya.

Pada tahun 2009, gabungan ini dijenamakan sebagai Perak Transit dan perkhidmatan yang terkini ialah MyBas mulai diperkenalkan di bandar-bandar utama negeri Perak.

Dia menambah perkhidmatan bas baharu seperti Rapid juga mula beroperasi di Taiping dan Parit Buntar.

Kenangan Bus Stand Ipoh Kekal Dalam Ingatan

Sementara itu bagi Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud, 59, ukhuwah yang terjalin di stesen bas Ipoh sejak puluhan tahun lalu masih erat hingga sekarang.

Malah mereka turut mengumpulkan kembali rakan-rakan yang sinonim dengan aktiviti di stesen bas sekitar bandar Ipoh dan meneruskan kerja-kerja kebajikan.

“Budak-budak bas stand zaman 70-an orang panggil ‘kutu lepak’ dan bersidai di pusat membeli belah, stesen keretapi dan pekan Ipoh. Senang kata kita gelar mereka budak-budak nakal sebab masih lagi muda remaja.

“Dulu kita panggil stesen bas Ipoh disebabkan Medan Kidd sebelum ini terletak berdekatan dengan medan selera yang ada sekarang, dan ia menempatkan bas ekspres.

“Jadi ada dua bas stesen, kalau sebut Medan Kidd orang tahu khas untuk bas ekspres dan bas stesen untuk bas mini. Waktu itu boleh kata zaman rock macam dalam filem Mamat Khalid,” katanya kepada Suara Perak.

Fokus Aktiviti Kebajikan 

Amiruddin yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Anjang berkata, ahli persatuan itu kini mencecah lebih 900 orang dari seluruh Malaysia dan mereka akan berhimpun dalam beberapa program bagi merapatkan semula hubungan yang terjalin selama ini.

“Persatuan Budak Bas Stand Ipoh lebih menjurus kepada aktiviti kebajikan dan membantu orang yang memerlukan. Kami pun sudah berusia dan ini platform yang sesuai untuk menjalankan amanah tersebut.

“Alhamdulilah kerja-kerja kami dipermudahkan dan sudah ramai yang menerima manfaat daripada bantuan tersebut, contohnya baikpulih rumah yang rosak dan kes-kes kecemasan lain,” katanya.