IPOH, 3 Dis – Seramai lapan pengusaha kedai makan dan restoran di Perak dikompaun kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 dan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dalam Op Menu yang dijalankan sejak 6 November hingga semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Dottie Azlina Ismail berkata, lima daripada mereka dikompaun di bawah ATS 1972 dan tiga lagi dibawah AKHAP 2011 dengan nilai keseluruhan RM2,200.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi itu, pihaknya telah melakukan 287 pemeriksaan.

“Op Menu memberi tumpuan kepada restoran dengan memeriksa tanda harga yang dipamerkan adakah sama dengan makanan yang dijual dan juga pemeriksaan ke atas restoran yang menggunakan alat timbang bagi menentukan harga setiap makanan yang dibeli terutama makanan yang berasaskan hasil laut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan itu adalah selaras dengan langkah proaktif KPDNHEP dalam mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas pengusaha kedai makan dan restoran bagi memastikan mereka mengamalkan budaya perniagaan yang beretika, adil dan tidak mengelirukan atau memperdayakan pengguna.

Menurutnya, dalam Op Menu yang dijalankan di Lembah Kuala Kangsar semalam, pihaknya telah mengambil tiga tindakan, masing-masing dua kes dibawah ATS 1972 dan satu dibawah AKHAP 2011.

Katanya, seramai 19 anggota penguat kuasa dari Ipoh, Kuala Kangsar dan Gerik telah melakukan pemeriksaan ke atas pengusaha kedai makan, restoran dan trak makanan.

“KPDNHEP akan bertindak tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana- mana peniaga yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan kerana amaran dan peringatan telah diberikan sebelum ini untuk tidak mengaut keuntungan yang tidak munasabah,” tegasnya.

Katanya, selain menumpukan usaha menangani isu kenaikan harga sayuran, ayam, telur dan hasil laut, KPDNHEP Perak juga meningkatkan pemeriksaan ke atas pengusaha kedai makan dan restoran.