LUMUT, 23 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan tiga bot asing yang melakukan aktiviti perikanan di kawasan Zon A di kedudukan 3.3 batu nautika hingga 4.2 batu nautika barat laut Sungai Burung awal pagi Selasa.

 Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot Penggalang 13 yang sedang melaksanakan Op Pintas telah mengesan tiga bot mencurigakan kira-kira jam 12.10 pagi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga–tiga bot berkenaan adalah bot Kelas  B dengan dikendalikan oleh dua kru bagi setiap bot, disyaki menggunakan pukat tunda di kawasan terlarang Zon A serta tidak mematuhi syarat sah lesen.

“Enam orang ditahan, termasuk tekong dan kru berumur lingkungan 27 hingga 40 tahun diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Setiawan Perak bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (B) iaitu melanggar syarat sah lesen.

Menurutnya, penahanan itu membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” tegasnya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.