TAIPING: Lebih 100 penunggang dan pembonceng 98 buah motosikal terpaksa menolak motosikal masing-masing kira-kira sejam untuk sampai ke Balai Polis Batu Kurau.

Mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Taiping dibuat di Jalan Besar Jelai berdekatan Kampung Jelai bermula 5 petang.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita 42 motosikal dan mengeluarkan 134 saman.

“Sebanyak 98 motosikal diperiksa dalam operasi ini, namun tiada tangkapan dibuat bagi mana-mana peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, begitu juga bagi kesalahan lain seperti jenayah dan narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan dikatakan terpaksa menolak motosikal kira-kira enam kilometer dari lokasi operasi berhampiran Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Jelai yang menjadi tumpuan ‘mat motor’.

Osman berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada lesen, nombor pendaftaran, topi keledar, ubah suai ekzos, aksesori dan tiada cermin sisi.

Katanya, majoriti pesalah lalu lintas itu terdiri dari golongan remaja yang berusia antara 13 hingga 20 tahun.