IPOH, 13 APRIL – Operasi bazar Ramadan di seluruh negeri dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pemantauan pematuhan SOP akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama agensi penguatkuasaan yang terlibat.

“Kita tidak mendapat arahan untuk membatalkan bazar Ramadan kerana kes (Covid-19) masih terkawal.

“Bagaimanapun kita lihat dari masa ke masa mengikut keperluan, pemantauan (SOP) dilakukan bersama pihak berkuasa yang lain,” katanya pada sidang media pelancaran Ipohpedia di sini pada Isnin.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemantauan rapi akan dibuat di 28 lokasi melibatkan 1,040 petak bazar Ramadan.

“Kita sentiasa patuh kepada arahan MKN dan SOP yang ditetapkan. Tiada sebarang perubahan setakat ini dan kita ikut persediaan yang telah dilakukan.

“Bagi tujuan itu penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan ditempatkan di lokasi terlibat dan setakat ini mencukupi,” katanya.

Bercakap mengenai Ipohpedia, Nolee Ashilin berkata, laman web itu akan menjadi sumber maklumat dan rujukan kepada pelancong di dalam dan luar negara mengenai Bandar Warisan Ipoh.

“Bagi menjadikan Ipoh sebagai bandar pintar, laman web ini akan menyalurkan maklumat berkaitan tarikan, aktiviti, perkhidmatan dan dokumentasi pembangunan dan warisan bandar raya ini.

“Maklumat mengenai 33 bangunan yang menjadi tarikan antaranya Dewan Bandaran, bangunan Bank OCBC dan bangunan kereta api akan dimuatkan untuk rujukan pengunjung,” katanya.

Katanya, MBI bercadang mewujudkan pusat sehenti Ipohpedia di Pejabat Pos Lama Ipoh yang mempunyai satu sistem pengurusan rekod elektronik dan perkongsian maklumat mengenai warisan bangunan serta budaya. – SINAR HARIAN