TELUK INTAN, 8 OKT : Jarak pencarian lelaki disyaki menghidap kemurungan yang dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Alor Bakong, Langkap di sini diperluaskan sehingga tiga kilometer hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, operasi mencari lelaki berusia 36 tahun yang dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba itu bermula dari lokasi barang-barang mangsa dijumpai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kita menggunakan kaedah ‘sweep searching’ dengan radius pencarian diperluas sehingga tiga kilometer.

“Pencarian bermula dari titik dua kilometer arah utara iaitu dari lokasi barang mangsa dijumpai, manakala anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pula membuat pencarian ke arah timur bermula dari dua kilometer lokasi sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurut beliau, operasi yang memasuki hari ketiga itu membabitkan pegawai dan anggota bomba termasuk Unit K9 Bomba, Pasukan Multi-Skill Team (MUST) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

Katanya, turut terlibat ialah pihak polis, PGA Bidor, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung dengan jumlah keseluruhan seramai 65 orang.

“Buat masa ini, mangsa masih belum dijumpai dan usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan,” katanya.

Semalam, Utusan Online melaporkan, mangsa, Jefri Ismail dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumahnya di Taman Desa Maju Perak dekat Langkap sejak Selasa lalu.

Kehilangan lelaki itu disedari isterinya kira-kira pukul 1 petang hari yang sama sebelum wanita itu dimaklumkan oleh abang mangsa yang menjumpai motosikal dan telefon bimbit adiknya di kawasan kebun kelapa sawit Alor Bakong, kelmarin.

Tempat barang mangsa dijumpai kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. – UTUSAN ONLINE