PARIT, 11 Okt – Tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat menyebabkan golongan muda semakin hilang keyakinan terhadap ahli politik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, keyakinan itu perlu dikembalikan melalui Akta Anti Lompat Parti yang perlu diluluskan segera di Parlimen.

Menurutnya, akta tersebut merupakan langkah terbaik untuk menghentikan polemik politik melibatkan wakil rakyat yang tidak berpegang pada prinsip.

“Sebagai exco belia, saya cukup khuatir dengan pandangan orang muda terhadap suasana politik di Malaysia ini dan orang politik adalah golongan yang mereka rasakan paling tak berguna sekarang ini.

“Ini sesuatu yang memberi implikasi cukup besar. Saya tak terlibat secara langsung (lompat parti), tapi dari segi imej dan rasa hati saya agak terkesan sebagai ahli politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Kotak Makanan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, di sini, hari ini.

Hadir sama pada progam tersebut, Yang Dipertua DPMM Perak, Ir Ts Kamarullaffie Ahmad.

Khairul Shahril berkata, secara peribadi beliau tidak sabar untuk melihat akta tersebut dikuatkuasakan bagi mengekang tindakan wakil rakyat tidak berprinsip dengan melompat parti.

Menurutnya, walau apa pun alasan yang diberikan oleh mereka yang melompat parti itu, tindakan tersebut langsung tidak boleh diterima.

“Saya boleh katakan kalau dalam agama dosa besar kita kalau kita keluar daripada agama, tapi dalam politik bagi saya, dosa besar orang politik adalah keluar dari parti, melompat parti.

“Kalau rasa tak boleh, tak sesuai dengan parti yang sedia ada, lebih baik letak jawatan terus sebagai wakil rakyat. Itu lebih bermaruah dan lebih berprinsip serta lebih memberikan pengiktirafan kepada pengundi-pengundi kita yang dulu,” katanya yang juga ADUN Bota.

Menurutnya, tindakan melompat parti itu merupakan perbuatan yang tidak adil serta memberikan kesan buruk kepada politik Malaysia.

Terdahulu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan agar ahli politik yang melompat parti sewajarnya digantung keahliannya daripada bertanding seumur hidup.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna menegaskan, pilihan raya pecat boleh diadakan, namun wakil rakyat yang melompat parti itu tidak seharusnya dibenarkan bertanding semula.