IPOH, 25 Feb – Mesyuarat Exco Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada Khamis bersetuju menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Presiden persatuan bola sepak itu.

Mesyuarat turut menerima peletakan jawatan Timbalan Presiden, Datuk Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan Bendahari, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, mesyuarat Exco juga sebulat suara melantik Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Sham Mat Sahat sebagai bendahari baharu dan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed sebagai exco PAFA di samping meluluskan pelantikan wakil PAFA sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.

Beliau yakin dengan keputusan itu serta keputusan-keputusan lain yang dibuat dalam mesyuarat tersebut, akan merungkai kemelut yang dikatakan berlaku antara PAFA dan Perak FC.

“Setelah berbincang, kita sepakat bahawa FC dengan FA seperti anak dan bapa. Kadang-kadang tersalah sikit, tu biasa tetapi akhirnya tujuan kita tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan bola sepak di negeri Perak.

“Yang penting pada hari ni, kita dah buat keputusan bersama bahawa FC dengan FA, kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam satu meja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco PAFA di sini, hari ini.

Pada 21 Januari lalu, Ahmad Faizal mengumumkan peletak jawatan sebagai Presiden PAFA yang kemudiannya diikuti timbalannya, Adly Shah.

Sebelum itu, Iskandar Dzulkarnain telah terlebih dahulu meletakkan jawatan sebagai Bendahari.

Muhammad Yadzan menjelaskan, mesyuarat Exco tidak dapat diadakan lebih awal kerana beberapa kekangan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).