KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 bagi memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di negeri ini sentiasa terjaga.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi menjaga kebajikan warga emas berusia 80 tahun ke atas, sumbangan one-off RM250 seorang melibatkan seramai 2,054 penerima dengan peruntukan berjumlah RM513,500.

Bagi membantu orang kurang upaya (OKU), pula katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.493 juta kepada 33,973 penerima secara one-off dengan kadar RM250 seorang.

“Bagi 3,014 penerima Bantuan Am Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri menaikkan kadar bantuan am ini dari RM300 sebulan kepada RM350 sebulan yang menjadikan keseluruhan peruntukan tambahan adalah sebanyak RM1.808 juta setahun.

“Bagi menghargai bakti imam-imam kariah, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM750 seorang kepada seramai 1,032 imam seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan RM774,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2021 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak melupakan jasa bilal dan siak yang mana sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang diberikan membabitkan 888 bilal dan 889 siak seluruh Pahang dengan peruntukan RM444,250.

BPP 2011 lain adalah seperti berikut:

* Bagi memberi semangat kepada 24,000 murid Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan yang bakal memasuki tahun satu pada 2021, sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan untuk pemberian secara one-off RM100 kepada setiap murid.

* Tidak dilupakan juga kepada 543 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), 62 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKB) dan 70 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang mana kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM250 secara one-off kepada setiap Pengerusi dengan jumlah peruntukan RM168,750 ringgit.

* Tidak sekadar itu, untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40, sumbangan secara one-off sebanyak RM250 diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai 1,594 orang. Ia akan melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM398,500.

* Selain itu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM840,000 setahun untuk Elaun Tambahan Guru al-Quran dan Fardhu Ain Asrama kepada 350 orang pada kadar RM200 seorang mulai tahun 2021. Elaun ini akan meningkat daripada RM800 kepada RM1,000 sebulan.

* Kerajaan negeri juga prihatin kepada institusi Maahad Tahfiz yang ada di Pahang. Oleh itu, Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) akan menerima peruntukan berjumlah RM1 juta secara keseluruhan untuk diagihkan kepada 89 buah Maahad Tahfiz.

* Selain itu, seramai 301 orang Tok Batin turut menerima sumbangan secara one-off RM250 seorang yang berjumlah RM75,250.

* Kerajaan negeri meneruskan pemberian sebanyak RM200 kepada pasangan yang berkahwin kali pertama pada tahun 2021.

* Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 untuk setiap 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti untuk memberikan latihan dan pemulihan kepada orang kelainan upaya (OKU). Jumlah peruntukan adalah RM520,000. – UTUSAN ONLINE