KUALA LUMPUR: Walaupun sudah dimamah usia namun susuk tubuhnya masih cergas dan sentiasa mengukir senyuman saat lensa kamera tertancap pada matanya.

Di usia 81 tahun, bagi bekas Perdana Menteri Tun Abullah Ahmad Badawi, arena politik bukan lagi keutamaan sebaliknya menumpukan perhatian kepada kehidupan berkeluarga dan menikmati saat-saat tua bersama insan tersayang, Tun Jeanne Abdullah Danker.

Dalam satu pautan yang dimuatnaik Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Facebook pada 11 November lalu, Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah kelihatan ceria ketika bergambar bersama isterinya.

Beliau juga dilihat mengadakan perbincangan bersama isteri serta beberapa pegawainya di salah satu lokasi yang tidak dinamakan namun tidak dinafikan perbincangan itu berlangsung di kediamannya.

Keceriaan yang dipaparkan oleh kedua-dua insan tersohor ini nyata menyentuh hati orang ramai apabila beberapa pengguna Facebook menzahirkan kesejahteraan dan doa agar beliau dan isteri sentiasa diberikan kesihatan berpanjangan.

“Alhamdulillah, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah sihat dan ceria,” kata kenyataan itu.

Pautan itu mendapat 387 tanda suka, 41 perkongsian dan 27 komen yang rata-ratanya memberikan kata-kata semangat dan membina kepada Tun Abdullah dan isteri.

Dalam pada itu, pengguna Facebook, Ana Liana, memberikan komen yang berbunyi: “Alhamdulillah… Semoga Tun Abdullah dan Tun Jeanne kekal sihat dan sentiasa dalam peliharaan Allah SWT hendakNya… Allahumma Aamiin…”

Hilmu Chegu Noorlajis juga memanjatkan doa agar Tun Abdullah dikurniakan kesihatan.

“Rindunya kat Pak Lah. Semoga Allah melindungi Pak Lah dan mengurniakan kesihatan yang baik untuk beliau…,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Fauzi berkata: “Semoga Pak Lah dan Tun Jeanne sihat-sihat selalu..amin.” – UTUSAN ONLINE