KUALA TERENGGANU: Konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan yang dilaksanakan kerajaan negeri pada tahun depan hanya melibatkan pemain negeri Terengganu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Terengganu tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan seumpama itu kepada atlet luar negeri.

Menurutnya, sudah menjadi hasrat kerajaan untuk melaksanakan dasar Islam dalam semua bidang termasuk sukan dan sebagai permulaan atlet akan diberikan kesedaran, kefahaman dan galakan berpakaian patuh syariah.

“Alhamdulillah, selepas kita nyatakan hasrat ini Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) menyahut seruan ini dan mereka nyatakan mahu tampil dengan pakaian patuh syariah tahun depan.

Wan Sukairi Wan Abdullah

“Persatuan hoki dan ragbi juga mahu berbuat demikian dan ini menggembirakan kita kerana walaupun belum ada penguatkuasaan tapi mereka terlebih dahulu menyahut cabaran,” katanya ketika ditemui di luar dewan Sidang Dun pada Selasa.

Wan Sukairi berkata, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai tersilap baca, mendapat maklumat silap atau terkhilaf berhubung pemakaian patuh syariah oleh atlet yang dilaksanakan Terengganu.

“Kita juga tidak menerima bantahan dari atlet terhadap saranan ini sebaliknya mendapat banyak sokongan daripada orang ramai, persatuan sukan dan individu yang terlibat dalam bidang sukan. Jurulatih dan pemain sudah lama menantikan perubahan dalam pemakaian sukan.

“Selama ini menunggu arahan daripada kerajaan. Bila kita sampaikan signal (saranan) ini, ia seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Ertinya mereka memikirkan perkara ini (pakaian patuh syariah) dan memakai pakaian ini langsung tidak menjejaskan prestasi mereka dalam beraksi,” katanya.

Menurutnya, tanggungjawab kerajaan bukan hanya menjaga kebajikan setakat di dunia malah hingga akhirat.

“Sebab itu kita meletakkan agama sebagai pertimbangan paling tinggi dalam setiap tindakan kita termasuk sukan. Kita bertanggungjawab kepada atlet kita bukan hanya di dunia tapi akhirat juga,” katanya. – Sinar Harian.