Lubok Merbau, 1 Nov- COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lalu dilihat memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk lebih kreatif sekali gus mencipta inovasi.

Implikasi pandemik itu turut memberi pendedahan dan ilmu baharu berkenaan teknologi, khususnya kepada penjawat awam.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku dan ia secara tidak langsung menyatukan orang ramai khususnya daripada segi perkongsian teknologi.

“Kita kena terima hakikat dengan pandemik yang berlaku, di sebaliknya ada hikmah dan bagi penjawat awam saya rasa kita boleh asah pemikiran luar kebiasaan untuk hadapi krisis.

“Jika tiada COVID-19 mungkin kita semua tiada pengalaman untuk mengatasi beberapa isu dan masalah, pendek kata ia memberi anjakan paradigma untuk kita cari jalan keluar secara kreatif dan inovatif,” katanya.

Saarani berkata demikian ketika Sesi Townhall YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium, Lubok Merbau, pada Isnin.

Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR) Dr. Maisarah Ahmad bertindak sebagai moderator.

Ia dianjurkan bersempena Program Mesra di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, wakil Institut Darul Ridzuan (IDR) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau, Jurij Jalaludin.

Dalam pada itu, Saarani berkata pandemik turut menyatukan jabatan-jabatan dan agensi berkaitan untuk berganding bahu daripada sudut prosedur operasi standard (SOP).

“Banyak kreativiti dan inovasi serta nilai kebersamaan, kalau dulu masing-masing ikut SOP jabatan sendiri, bila muncul COVID-19 semuanya kerja bersama-sama.

“Secara tidak langsung, masing-masing dapat serlahkan bakat untuk bantu apa yang patut, termasuk petugas barisan hadapan yang selama ini perangi COVID-19 secara berkumpulan,” ujarnya.