SEREMBAN, 17 JUN : Kerajaan perlu memanggil sidang Parlimen dengan segera tanpa perlu berdolak-dalik serta cuba mempolitikkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, titah dan hikmah Al-Sultan Abdullah yang mengusulkan agar Parlimen segera bersidang perlulah diterjemahkan dengan segera.

“Kerajaan wajar memanggil sidang Parlimen segera, jangan berdolak-dalik dengan alasan Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang.

“Pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian. Perkara itu tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka, ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, mempolitikkan titah Al-Sultan Abdullah juga tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.

“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi raja yang bebas dan berada di atas politik,” tegas beliau. – UTUSAN