KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menyuarakan kesediaan beliau untuk menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin COVID-19.

Menggelarkan dirinya sebagai ‘panglima perang’, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau menyatakan kesediaan berkenaan kerana ada pihak yang mempertikai tahap keselamatan vaksin tersebut.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan, beliau berkata, kerajaan diharap dapat mempercepatkan lagi perolehan vaksin berkenaan.

“Saya dengar khabar bahawa vaksin ini sudah ada dan Indonesia sudah memeterai perjanjian dengan China dan negara-negara lain. Kenapa Malaysia belum? Kalau ada vaksin ini, keluarkanlah.“Dan kalau perlu diuji awal-awal, sayalah orang pertama menawarkan diri, ujilah, saya tak takut. Saya mahu sihat,” katanya lagi.

Pada 27 November lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan.

Beliau berkata, jumlah vaksin tersebut akan dapat memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia dan keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan serta kumpulan rakyat yang berisiko tinggi.

Sebelum itu, pada 22 November, Malaysia bersetuju menyertai Covax Facility iaitu inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang akan menyaksikan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara.