KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, kecewa dengan sikap Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan peraturan perbahasan menteri selama 20 minit dan hanya 80 wakil rakyat dibenar berada dalam Dewan.

Tegasnya, perkara itu sudah dipersetujui oleh semua Ketua Whip parti dalam pertemuan sebelum ini dan tidak seharusnya menjadi isu atau dibangkitkan semula.

“Saya hari Ahad pun datang ke pejabat, (nombor telefon) WhatsApp saya pun semua orang tahu.

“Saya sanggup datang malam Ahad untuk mesyuarat tetapi tiada siapa pun yang hubungi saya (untuk bangkitkan isu ini).

“Akhirnya, hari ini bila masuk jam 11 pagi, semua bangun dan bangkitkan perkara ini. Ini keluhan saya. Kita ada persetujuan namun tiada siapa pun hubungi saya membangkitkan perkara ini supaya kita boleh membincangkannya sebelum hari ini,” katanya.

Beliau yang mengambil alih kerusi Speaker selepas timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengendalikan sesi soal jawab berkata, perkara sama turut berlaku ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu sebelum menteri membuat pembentangan.

Terdahulu, sesi penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, tertangguh selama 40 minit selepas Ahli Parlimen pembangkang mencelah membangkitkan isu berkenaan.

Isu itu dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sejurus tamat sesi soal jawab lisan pada jam 11 pagi dan Azhar mengumumkan sesi penggulungan perbahasan akan berlangsung mulai hari ini hingga Khamis.

Anwar antara lain memohon kelonggaran bagi membolehkan menteri menjawab dengan lebih panjang dan membenarkan lebih ramai Ahli Parlimen berada dalam Dewan.

“Saya mohon kerana giliran menteri menjawab hanya 20 minit, sepatutnya sedikit kelonggaran diberikan sebab Ahli Parlimen yang membangkitkan masalah itu sepatutnya hadir untuk mendengar, tak perlu hadkan kepada 80 Ahli Parlimen sahaja,” katanya.

Ia mendapat sokongan Datuk Dr Xavier Jayakumar (PKR-Kuala Langat) yang meminta Speaker meneliti permasalahan berkenaan.

“Jika menteri sekadar menjawab kesimpulan eksekutif, bagaimana dengan Ahli Parlimen yang tidak dapat berucap, soalan mereka tidak boleh masuk dalam hansard,” katanya.

Dewan senyap seketika apabila celahan Xavier itu ditegur oleh Azhar sambil memaklumkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu tidak memberi kerjasama ketika dipanggil mengadakan pertemuan dengannya berhubung perkara dibangkitkan.

“Itu sebabnya saya panggil Kuala Langat (Xavier) datang jumpa saya minggu lalu. Saya tunggu sejam tapi YB (Yang Berhormat) tak datang.

“Saya panggil YB datang bincang perkara ini tetapi YB tak datang. Kalau nak bincang pun tak nak, susahlah macam ini. Saya pun perlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Dewan sedikit gamat selepas itu apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang berdiri dan meluahkan rasa tidak puas hati berhubung aturan mesyuarat serta perjalanan persidangan.

Celahan tanpa henti beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain itu ditegur Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang menyifatkan kekecohan berkenaan hanya membuang masa.

“Perbincangan ini tidak berakhir. Kita dah putuskan dalam mesyuarat Ketua Whip, jadi panggil balik Ketua Whip dan buat keputusan baharu.

“Kita tidak boleh putuskan di sini. Kalau semua nak bercakap, kita hanya merugikan masa,” katanya.