KUALA LUMPUR, 21 SEPT : Kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi-18 Sebelum 31 Disember 2021.

Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sudah membuat ketetapan mengenai perkara itu dengan mematuhi perintah mahkamah untuk menurunkan usia minimum pengundi dari 21 ke 18 tahun sebelum tarikh ditetapkan.

“Saya mendapati bahawa daripada sudut perundangannya tidak ada perbezaan ataupun pendirian pihak Peguam Negara dengan pihak mahkamah. Ia hanyalah memendekkan masa sahaja sebabnya dalam SPR punya program awal, perlaksanaannya hingga ke September 2022, tetapi hakim telah mengarahkan pada 31 Disember 2021.

“Saya telah berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita perkara ini patuh kepada arahan mahkamah. Itu sahaja,” katanya bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Gobing Singh Deo (DAP-Puchong) meminta kerajaan menjelaskan adakah kerajaan akan akur kepada keputusan mahkamah dan apakah langkah-langkah supaya perkara itu dapat dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE