BAGAN SERAI, 4 MEI : Walaupun sudah membentuk Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) negeri, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak belum membincangkan secara terperinci pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, namun secara dasarnya kedua-dua parti itu sudah tahu kerusi mana yang akan ditandingi nanti.

“Sehingga hari ini belum ada perbincangan secara khusus (pengagihan kerusi) dilakukan dalam Jawatankuasa PN peringkat negeri ini namun secara dasarnya masing -masing tahu kerusi mana yang nak bertanding.

“Tetapi di peringkat Pusat sememangnya ada perbincangan tentang pengagihan kerusi dalam PN,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Seronok Beraya 2021 di Dewan Wahab Nor Masjid Tinggi di sini semalam.

Mengenai perbincangan perkara yang sama dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN), Razman berkata, perbincangan telah terhenti sementara waktu disebabkan UMNO mempunyai masalah dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meminta UMNO menyelesaikan masalah dalam parti itu sebelum mengadakan perbincangan.

“Untuk di negeri Perak, Pas Perak masih lagi memperkasakan MN dan memperkukuh serta mempertahankan kerajaan  PN sehingga bubarnya Parlimen.

“Pas Perak mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan penuh dengan keamanan dan keharmonian. Kita tidak mahu adanya DAP dan kuncu-kuncunya yang ekstrem serta politik yang melampau dalam kerajaan yang akan datang” katanya.

Sementara itu, pada program itu, Razman menyampaikan sumbangan baju dan kuih raya kepada seramai 50 kanak-kanak dari golongan asnaf, fakir dan miskin serta anak yatim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol. – UTUSAN ONLINE