IPOH, 24 NOV – Pemuda Pas Perak yakin parti itu akan terus istiqamah memperkukuh dan mempertahankan kerjasama bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, kerjasama yang dimeterai menerusi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bukanlah kerjasama tertutup yang melibatkan parti tertentu sahaja.

Menurut beliau, sebaliknya gabungan itu memerlukan usaha bersungguh-sungguh, berjiwa besar dan saling bertoleransi yang membawa kepada agenda penyatuan ummah.

“Sehingga ke saat ini Pas tetap istiqamah untuk memperkukuh MN dan mempertahan PN.

“Pas sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak yang akan menguntungkan Islam dan bersikap adil terhadap rundingan bertunjangkan politik Islam dengan penerapan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai masa depan hubungan Pas dan UMNO berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Hafez berkata, PRN Melaka merupakan medan pertama kemunculan gabungan Pas dan Bersatu dalam PN di Semenanjung.

Katanya, meskipun kemenangan memihak kepada BN, undian keseluruhan yang diperoleh PN adalah sangat positif khususnya daripada saluran anak muda.

“Strategi pendekatan politik perlulah bersifat dinamik tanpa mengetepikan prinsip politik Islam termasuk kerjasama yang telah digariskan oleh Majlis Syura Ulamak Pas secara ‘muwajahah silmiah’ iaitu melalui jalan perdamaian untuk menegakkan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keputusan PRN Melaka tidak mengganggu hubungan baik antara Pemuda Pas negeri dengan barisan kepimpinan Pemuda UMNO di peringkat akar umbi.

“Alhamdulillah, hubungan terjalin dengan sangat baik dan Pemuda Pas Perak sentiasa menghargai dan menjaga ukhuwah silaturahim dengan Pemuda UMNO,” katanya. – SINAR HARIAN