IPOH, 15 DIS : Pas Perak turut menjunjung kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap kemaslahatan agama, kestabilan politik dan ekonomi, serta kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jelata.

Menurut kenyataan Badan Perhubungan Pas Perak, parti itu mendoakan semoga baginda serta seluruh kerabat Diraja Negeri Perak senantiasa dilimpahi kesejahteraan dan kemakmuran di bawah rahmat dan naungan Allah S.W.T.

Kenyataan itu susulan perkenan Sultan Perak menerima menghadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Istana Kinta, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu memasuki pekarangan istana kira-kira jam 10.50 pagi menaiki kereta Mercedes Benz berwarna kelabu.

Beliau kemudiannya dilihat keluar daripada pekarangan istana kira-kira jam 11.39 pagi.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini yang ditemui selepas majlis menghadap itu memberitahu, pertemuan berlangsung kira-kira 45 minit.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan ringkas pula berkata, Abdul Hadi merakamkan setinggi junjung kasih kepada Sultan Perak di atas keprihatinan dan hikmah kebijaksanaan yang dizahirkan oleh Baginda terhadap kemaslahatan agama, kestabilan politik dan ekonomi, serta kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jelata.