BAGAN SERAI, 27 APRIL : Pas Perak tidak menyisihkan UMNO walaupun parti itu sudah membentuk jawatankuasa bersama pelbagai peringkat dalam Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, malah Pas sentiasa berharap agar hubungan parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tetap diteruskan.

Menurutnya, Pas masih mengharapkan UMNO dapat menyertai PN untuk menghadapi PRU-15 dan membentuk kerajaan yang mantap.

“Pas Perak tidak menyisihkan UMNO walaupun kita bersama Bersatu dalam jawatankuasa PN negeri yang telah dibentuk baru-baru ini. Tagline kita jelas iaitu memperkasakan MN sebab MN ini kita gagaskan bersama UMNO sebaik sahaja habis PRU-14.

“Hilangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas PRU-14, kita telah mulakan gerakan menyatukan Pas dan UMNO sehingga terbentuknya MN dan kita harap hubungan ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan barang makanan kepada 94 buah keluarga asnaf di Dewan PPMS Lembah Beriah di sini hari ini.

Ditanya sekiranya UMNO meninggalkan Pas setelah Pas menyertai Jawatankuasa PN Perak, Razman berkata, itu adalah hak UMNO.

“Kita cinta kepada dia tapi kalau dia tak cinta pada kita, apa yang boleh kita buat? Itu hak dia. Harapan kita adalah supaya jalinan hubungan MN yang terbina dapat di teruskan,” katanya.

Razman ditanya mengenai kerjasama Pas dan Bersatu Perak yang semakin erat sehingga menubuhkan tiga jawatankuasa bersama tiga peringkat di antara kedua-dua parti itu untuk menghadapi PRU-15.

Ia terdiri daripada Jawatankuasa Manifesto PH Perak bagi mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi kedua-dua parti itu di peringkat negeri tanpa memberi fokus kepada keputusan UMNO.

Dua lagi ialah Jawatankuasa Wanita PN Perak dan Jawatankuasa Pemuda PN Perak yang turut melibatkan parti Gerakan. – UTUSAN