IPOH, 17 Okt – Selepas lebih daripada empat bulan ditutup, Memory Lane atau lebih popular dengan nama Pasar Karat Loken mula dibuka hari ini dan kembali dikunjungi orang ramai.

Lokasi yang menjual pelbagai jenis barangan khususnya perkakasan antik dan terpakai ini bukan sahaja dikenali oleh penduduk setempat malah orang yang berada di luar Perak.

Menurut salah seorang pengunjung tempatan Abd Aziz Shahlan, 45, dia kerap berkunjung ke situ bukan untuk membeli tetapi sekadar ‘mencuci mata’ sekiranya ada barang-barang yang berkenan.

“Uniknya Pasar Loken ini ialah menjual barang-barang antik dan sukar dicari seperti pemetik api, buku-buku teks masa kita zaman sekolah dulu dan bermacam lagi. Ini memang port (tempat) orang-orang Ipoh,” ujarnya di sini pada Ahad.

Sementara itu pengunjung dari Kuala Lumpur, Muhd Rashid Jamaluddin, 46 berkata dia sememangnya menantikan pembukaan semula sempadan negeri semata-mata untuk ke Pasar Karat Loken.

“Saya memang gemar ke Ipoh terutama untuk ke Pasar Karat Loken demi untuk mencari barangan antik yang susah dijumpai masa kini di pasaran biasa seperti jam dinding lama.

“Saya telah ke Ipoh sejak Sabtu dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur saya ambil kesempatan untuk singgah ke sini,” katanya lagi.

Tinjauan ke bazar tersebut mendapati, keadaan terkawal selain para pengunjung dan peniaga mematuhi SOP selain beberapa petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ditempatkan di situ.

Disebabkan pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19, cuma kira-kira 30 peratus sahaja peniaga dibenarkan di mana kebanyakannya adalah penjual barangan antik dan terpakai termasuk buku-buku.

Bagaimana pun, ia tetap menggembirakan pengunjung setempat yang sememangnya menjadikan Pasar Loken sebagai tempat persinggahan hujung minggu.