IPOH: Pasukan bola sepak Menteri Besar terus mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan yang diadakan.

Terbaru, mereka menewaskan pasukan Wen Parker SC 3 – 2 dalam perlawanan di Stadium Perak di sini pada Isnin malam.

Kedudukan suku pertama menyaksikan Pasukan MB Perak mendahului dengan 2 – 0 hasil jaringan Kuzairi Suzli pada minit ke-15 dan Danial Fadzli di minit ke-19.

Pasukan Wen Parker SC yang turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun menukar strategi di suku kedua dan berhasil memperolehi gol pertama di minit ke-35 hasil sepakan penalti K. Ranjit Singh.

Mereka kemudiannya menyamakan kedudukan hasil jaringan cantik, Tan Kok Wai pada minit ke-66, suku ketiga.

Bekas penyerang Perak, Isham Sharudin menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan hasil rembatan kencang di dalam kotak penalti lawan pada minit ke-70.

Kedudukan 3 – 2 kekal sehingga tamat masa 90 minit perlawanan.

Penyampaian hadiah kemudiannya diadakan ketika majlis makan malam di Kediaman Menteri Besar.