KUALA LUMPUR, 27 MAC : Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, jawatan Perdana Menteri adalah milik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bercakap pada sidang media selepas ucap utama beliau di Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), beliau berkata UMNO perlu menjadi ‘striker’ (pemain utama) dan tidak boleh lagi menjadi ‘anak ayam’.

“Jawatan Perdana Menteri adalah untuk UMNO, untuk BN. Tiada cara lain.“UMNO tidak boleh menjadi ‘anak ayam’, UMNO mesti menjadi induk ayam.“Induk akan sayang semua anaknya.

Bukan orang Melayu sahaja yang kami jaga, kami akan menjaga semua kaum juga,” ujarnya.

Katanya, UMNO yang sudah meneraju negara buat 60 tahun tidak biasa mengikut dan tunduk pada arahan mana-mana pihak.

“Walaupun UMNO merupakan salah satu komponen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO cuma mengikut dan tunduk kepada arahan yang dikeluarkan. UMNO tidak biasa begitu.

“UMNO dan BN sudah 60 tahun meneraju negara dan kami mempunyai rekod yang baik.“UMNO mesti menjadi parti induk dan teras kepada pentadbiran negara,” katanya.

Apabila ditanya siapa calon terbaik dalam BN untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, beliau dengan nada bergurau berkata, beliau calon paling sesuai.

“Saya hanya bergurau, parti akan membuat keputusan.“Kami jangan terikat dengan cara konvesional tetapi perlu memikir kehendak semua pihak,” katanya. – AWANI