KUALA LUMPUR, 17 JUN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan kompaun saman trafik dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus bermula 18 Jun hingga 18 Julai depan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata tawaran pengurangan kompaun saman trafik tidak termasuk kes saman dalam sebutan mahkamah dan lain-lain kesalahan utama pada tahun ini.

“PDRM akan memberikan tawaran pengurangan kompaun saman trafik dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus bagi semua saman terpilih yang boleh dikompaun termasuk saman-saman dalam kategori senarai hitam.

“Orang ramai boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM https://mybayarsaman@rmp.go.my, muat turun aplikasi di telefon pintar.

“Aplikasi MyBayar saman telah dipertingkatkan bagi membolehkan syarikat dan entiti perniagaan mendaftar sebagai pengguna dan seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi tersebut.

“Sepanjang tempoh kempen ini berlangsung, semua kaunter pembayaran saman di Kontijen dan Ibu Pejabat Polis Daerah akan ditutup bagi mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, MyBayar saman merupakan inisiatif JSPT dalam menyokong hasrat kerajaan ke arah memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai sepenuhnya kepada masyarakat.

Justeru beliau berharap dengan pengurangan kompaun saman ini akan dapat membantu orang ramai yang terkesan dalam situasi sukar pandemik COVID-19. – AWANI